KANGAR 6 Julai – Dua wanita berputih mata apabila kerugian kira-kira RM78,500 selepas ditipu oleh saudara sendiri yang mengambil kesempatan mengeluarkan wang simpanan mereka di Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sejak awal 2018 sehingga bulan lalu.
Perkara itu terbongkar selepas dua wanita berkenaan masing-masing berumur 80 serta 43 tahun yang salah seorangnya adalah orang kurang upaya (OKU) tampil membuat laporan polis pada 20 dan 25 Jun lalu selepas menyedari wang simpanan mereka di Tabung Haji berkurangan sehingga RM40,000 dan RM38,500.
Berikutan itu, wanita berumur 53 tahun berkenaan ditahan polis kira-kira pukul 4 petang semalam di sebuah rumah di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. memberitahu, kedua-dua mangsa itu sebelum ini memberikan kad dan kata laluan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada suspek bagi membantu mereka mengeluarkan duit kerana kedua-dua wanita itu uzur.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek telah mengeluarkan wang mangsa dengan menggunakan kad ATM itu secara berperingkat sejak awal 2018 hingga pertengahan 2019.
“Mangsa sentiasa meminta pertolongan suspek mengeluarkan wang bagi kegunaan hariannya.
Sejak dari itu, suspek mengambil kesempatan dengan mengeluarkan wang tanpa pengetahuan kedua-dua mangsa tersebut sehingga pertengahan tahun ini.
“Mangsa pertama berusia 80 tahun itu adalah ibu saudara kepada suami suspek dan mangsa kedua pula adalah anak saudara suami suspek. Suspek hanya suri rumah sepenuh masa manakala suaminya pula bekerja sebagai tukang rumah,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997. – UTUSAN ONLINE











