KUANTAN – Dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah berjumlah RM41,800 melibatkan 19 peserta dari Temerloh dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, dua wanita masing-masing berusia 60 tahun dan 50 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Katanya, tangkapan itu ekoran laporan polis oleh seorang peniaga di Temerloh yang berasa ditipu berhubung pakej umrah ditawarkan sebuah syarikat agensi pelancongan dan seorang wanita yang menguruskannya.
“Pada 21 November tahun lalu, mangsa ditawar menunaikan umrah dengan sebuah syarikat agensi pelancongan yang dikendalikan oleh seorang wanita. Dia dimaklumkan sebahagian perbelanjaan umrah akan ditanggung oleh penaja yang berpangkat Datuk berjumlah RM 5,000 dan peserta hanya membayar RM 2,200 seorang.
“Pada 27 November tahun lalu, mangsa memasukan wang bayaran umrah RM2,200 ke dalam akaun diberikan dan mengikut ejennya, peserta umrah dijangka berlepas pada 1 Disember tahun lalu. Pada pertengahan Disember, mangsa diberitahu bahawa umrah ditunda pada 20 Disember 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, pada 19 Disember tahun lepas, ejen agensi pelancongan terbabit menyatakan sesiapa yang ingin menarik diri boleh berbuat sedemikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga minggu.
“Sehingga hari ini mangsa mendakwa belum mendapat kembali duit tersebut dan pada pertengahan Januari lalu, pasport berserta gambar dua keping milik mangsa dikembalikan. Mangsa mendapat makluman wangnya akan dikembalikan pada 14 Mac lalu tetapi sehingga kini belum menerima wang tersebut,” katanya.
Jelasnya, berasakan dirinya ditipu, mangsa baru-baru ini membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Temerloh (IPD).
Menurutnya, Mahkamah Majistret Temerloh semalam membenarkan dua wanita berkenaan direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











