KUALA LUMPUR – Dua individu lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah cermin kereta dan samun seorang wanita di lampu isyarat berdekatan Maybank, Jalan Gombak di sini semalam kini diburu pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.37 pagi semasa mangsa berada di dalam kereta dan sedang dalam perjalanan ke Batu 5, Jalan Gombak.
“Mangsa ketika itu berhenti di lampu isyarat dilokasi kejadian namun tiba-tiba dari arah belakang datang sebuah motosikal yang dinaiki dua pemuda memakai topi keledar penuh dan tidak dikenali mangsa bertindak memecah tingkap penumpang hadapan.
“Suspek kemudian mengambil beg tangan yang diletakkan mangsa di atas kerusi penumpang hadapan lalu memecut laju dan kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian berupa barangan, dokumen penting dan wang tunai dianggarkan RM2,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah Mazlan, pihak polis sedang berusaha mengesan suspek dan sekiranya orang ramai mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE











