KUALA LUMPUR 10 Julai- Dua sahabat karib maut apabila motosikal yang dinaiki mereka melanggar sebuah treler muatan minyak sawit di Kilometer 80, Jalan Sibu-Bintulu, Sarawak, pagi ni.
Portal Utusan Borneo melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Rumah Imu Sungai Sepiring, Selangau.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superinten Jummy Panyau berkata, mangsa, Thomas Liam, 22, disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pembonceng, Augustine Roy Bagau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sibu.
“Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati motosikal yang mereka naiki telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diletakkan di sebelah kiri jalan menuju ke arah Bintulu.
“Kedua-dua mayat kini dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Jummy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE











