Dua peniaga didakwa beri suapan kepada pegawai Imigresen - Utusan Malaysia

Dua peniaga didakwa beri suapan kepada pegawai Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 31 Julai – Dua peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM5,000 kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen, dua tahun lalu.

Tertuduh, Fabian Dang Wen Min, 51, dan Choo Chee Seng, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan berasingan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memberi suapan kepada ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Imigresen, Jabatan Imigresen Perak, Abdul Majid Mohamed di Restoran Pizza Hut, Jalan Meru Bestari B2, Meru Bestari di sini pada pukul 3.56 petang, 13 Oktober 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suapan itu diberikan sebagai dorongan kepada Abdul Majid agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Chee Seng iaitu pemilik kopitiam di Pekan Menglembu atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji empat pekerja warga asing dari Bangladesh yang tidak mempunyai permit pekerjaan.

Pertuduhan ke atas mereka di jalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala Wen Min dan Chee Seng masing-masing diwakili peguam, Shahidah Muslimah dan Mohd. Khairul Fairuz Rahman.

Terdahulu, Nurul Wahidah menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap tertuduh namun peguam yang mewakili mereka memohon agar jaminan tersebut dikurangkan kepada RM5,000.

Hakim S. Indra Nehru kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas setiap tertuduh dan 28 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini