TANJUNG MALIM – Kegiatan dua lelaki menanam pokok ketum dan memproses daunnya terbongkar apabila diberkas polis dalam serbuan di sebuah kebun dekat rizab sungai di Kampung Behrang Ulu di sini hari ini.
Lelaki berusia 32 dan 34 tahun itu ditangkap oleh sekumpulan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan itu, 30 botol plastik minuman yang setiap satunya mengandungi 1.5 liter air ketum dan satu tong berwarna oren dirampas.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu sedang memasukkan botol-botol plastik tersebut ke dalam tong berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan duan ketum daripada pokok yang ditanam sendiri di rezab sungai di Kampung Behrang Ulu.
“Terdapat kira-kira 200 pokok ketum yang ditanam dan mereka memproses daun ketum itu untuk dijadikan air di kebun berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan ujian saringan air kencing, lelaki berusia 32 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala keputusan ujian rakannya pula negatif.
Katanya, lelaki sama juga mempunyai tiga rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.
“Kedua-dua lelaki itu ditahan mengikut seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE











