KUALA LUMPUR 15 Julai – Dua lelaki warga Iran ditahan kerana disyaki aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar ibu negara dalam serbuan di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Jalan Solaris, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 46 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Kuala Lumpur dalam sebuah kereta BMW pada pukul 7.40 malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta Mercedes-Benz berhampiran telah menemukan dadah jenis ketamin seberat 1,005 gram bernilai RM60,800.
“Keesokannya, kita jalankan pemeriksaan lanjut di kediaman suspek di kondominium Jalan Kiara, di sini dan menemukan sepucuk pistol jenis Walter CP88 bersama satu kelopak dan lapan butir peluru.
“Kita turut merampas wang tunai RM7,353, pelbagai jenis barang kemas bernilai RM238,800 dan 28 jam tangan mewah bernilai RM153,800,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Mazlan, kedua-dua suspek didapati positif dadah THC dan kini dalam tahanan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.-UTUSAN ONLINE











