TAMPIN – Dua lelaki bermotosikal gagal menyamun wang tunai sebanyak RM43,000 daripada seorang pengurus stesen minyak berusia 65 tahun di hadapan sebuah bank di Gemas dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, salah seorang suspek berjaya diberkas oleh orang ramai, manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pengurus stesen minyak itu mahu mendepositkan wang RM43,000 hasil jualan stesen minyak di bank berkenaan sebelum kejadian tersebut berlaku.
“Semasa lelaki yang bekerja sebagai pengurus stesen minyak itu berada di kaki lima di depan bank berkenaan, seorang lelaki memakai topi keledar meluru ke arahnya dan cuba merampas beg bimbit miliknya.
“Mangsa sempat berpusing dan mencampak beg tersebut di kaki lima. Kemudian suspek ditangkap dengan bantuan orang ramai dan diserah kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang ditahan berusia 45 tahun dan bekerja di sebuah kebun durian di Pasir Besar, Gemas.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin dan semasa kejadian seorang lagi suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC menunggunya di tepi jalan.
Kata beliau, pengurus stesen minyak itu mengalami kecederaan luka pada lutut kiri dan kanan serta luka di siku tangan kanan dalam kejadian tersebut.
“Soal siasat untuk mengesan seorang lagi suspek masih dijalankan. Kes disiasat dibawah Seksyen 395/393 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











