GWANGJU, Korea Selatan – Bintang renang Amerika Syarikat (AS), Caeleb Dressel kini mula dianggap sebagai pengganti kepada perenang legenda Sukan Olimpik, Michael Phelps selepas melakar beberapa kejutan pada Kejuaraan Akuatik Dunia 2019 yang berakhir Ahad lalu.
Dressel memenangi enam pingat emas dan dua pingat perak pada edisi tahun ini, yang mana dia mengungguli kesemua empat acara individunya, selain meleburkan rekod 10 tahun Phelps dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu.
Perenang berusia 23 tahun itu memenangi emas pertamanya dalam acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti buat AS sebelum menambah tiga lagi emas dalam acara 50m kuak kupu-kupu, 100m gaya bebas dan 100m kuak kupu-kupu termasuk mengatasi rekod dunia milik Phelps (49.82s) dengan kelebihan 0.32s (49.50s).
Dua jam kemudian, Dressel menambah dua lagi pingat emas dalam acara 50m gaya bebas dan membantu kuartet 4x100m gaya bebas campuran memperbaharui rekod dunia dengan 3 minit 19.40s.
Susulan kejayaannya itu, atlet kelahiran Florida tersebut dilihat berpotensi untuk mengulangi pencapaian Phelps memenangi lapan pingat emas di Sukan Olimpik 2018 Beijing apabila turun beraksi pada edisi 2020 di Tokyo tahun depan.
“Pencapaian ini adalah hasil daripada pengorbanan dan penat lelah saya selama ini. Tekanan yang saya galas sebelum beraksi di kejohanan ini amat berat.
“Walaupun saya hanya memenangi enam pingat emas berbanding tujuh emas ketika edisi 2017 di Hungary dua tahun lalu, saya langsung tidak berasa kecewa.
“Jika prestasi seperti ini dapat saya kekalkan sebelum ke Tokyo, saya rasa lebih banyak pingat emas mampu saya menangi di temasya itu nanti,” jelas Dressel. – AFP











