KUALA LUMPUR 28 Julai – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan tuduhan bahawa beliau mempunyai pendirian yang bertentangan terhadap kes seks sejenis melibatkan anggota Kabinetnya pada tahun 1998 dan kes terbaharu yang juga melibatkan anggota Kabinetnya kini.
Menurut Dr. Mahathir tindakan yang beliau ambil pada tahun 1998 tidak berdasarkan klip video.
Dr. Mahathir berkata, dalam kes tersebut klip video hanya muncul kemudian dan tidak mempengaruhi mahkamah, orang lain atau beliau sendiri.
Dalam kes terbaharu yang didakwa melibatkan seorang menteri Kabinet, Dr. Mahathir berkata, klip video muncul terlebih dahulu dan jelas mahu menggugut menteri terbabit.
“Tidak ada percanggahan. Tindakan yang diambil pada tahun 1998 tidak berdasarkan klip video. Video datang kemudian. Mahkamah telah membuat keputusan. Video yang muncul seterusnya tidak mempengaruhi mahkamah atau orang lain. Ia tidak mempengaruhi saya.
“Dalam kes baru-baru ini, video muncul terlebih dahulu. Jelas sekali ia adalah cubaan untuk mengugut individu berkenaan dengan tujuan untuk menghancurkan masa depan beliau,” tulis Dr. Mahathir dalam entri terbaharu di blog beliau hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, beliau hanya akan menjadi alat sekiranya beliau mengambil tindakan yang seperti yang digesa.
“Saya tidak berhasrat untuk menjadi alat kepada kumpulan perancang. Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada politik kotor sedemikian,” tegas Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir menjawab tuduhan segelintir pihak kononnya beliau mempunyai pendirian yang bertentangan terhadap kes seks sejenis yang didakwa dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan dakwaan yang sama terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ini.
Pada 1998 Dr. Mahathir memecat Anwar daripada Kabinet kerana didakwa terlibat dengan skandal seks sejenis.
Sementara dalam kes terbaharu, Dr. Mahathir mempertahankan Azmin walaupun terdapat tuduhan melakukan hubungan seks sejenis dilemparkan terhadap Timbalan Presiden PRK tersebut.-UTUSAN ONLINE











