PARIS- Penyerang Belanda, Lieke Martens kini meletakkan harapan kepada pasukan perubatan untuk memastikan dirinya cergas menjelang final Piala Dunia Wanita 2019 menentang Amerika Syarikat, awal pagi Isnin ini.
Bintang Barcelona itu hanya mampu bermain selama 45 minit ketika Belanda menewaskan Sweden 1-0 menerusi gol Jackie Groenen pada masa tambahan dalam aksi separuh akhir di Stadium Groupama, awal pagi tadi.
Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan disebabkan rakan sepasukannya, Jill Roord, terpijak kakinya ketika meraikan jaringan kemenangannya ke atas Jepun dalam perlawanan peringkat 16 terbaik.
“Sebagai pemain, anda sentiasa mahu beraksi dalam perlawanan terbesar karier anda dan final ini merupakan antara yang terbesar dan saya mahu beraksi.
“Saya akan menjalani pemulihan dengan pegawai perubatan, saya amat mempercayai mereka dan saya akan melakukannya setiap hari,” katanya.
Mertens mengakui dia tiada masalah untuk digantikan dengan Roord dalam waktu rehat memandangkan dia sudah berasa sakit sejak awal permainan.
“Ia tidak berasa baik (kaki saya). Bagi saya ia amat mudah, saya tidak cergas 100 peratus, jadi saya mahu pemain lain untuk masuk dan memberikan 100 peratus.
“Apa yang penting ialah pasukan ini akan menjadi lebih baik jika pemain memberikan 100 peratus,” ujarnya. – AGENSI











