Dipenjara, sebat kerana samun bersenjata - Utusan Malaysia

Dipenjara, sebat kerana samun bersenjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Tertekan diancam kekerasan ah long yang menuntut bayaran balik pinjaman, seorang pemandu e-hailing sanggup menyamun menggunakan senjata untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan hutangnya.

Pemandu berkenaan, Mohd. Rozaini Roslan, 30, bagaimanapun menerima padah akibat perbuatan tersebut apabila dihukum penjara 24 tahun empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Dazuki Ali turut menjatuhkan hukuman sebat sembilan kali terhadap Mohd. Rozaini, selain memerintahkan tempoh penjara tersebut berkuat kuasa sejak tarikh dia ditangkap pada 24 Jun lalu.

Bapa kepada seorang anak berusia lapan tahun itu dituduh menyamun sembilan premis di daerah ini pada tempoh antara 21 Mei hingga 18 Jun lalu sehingga melibatkan kerugian wang tunai RM10,464 dan seutas rantai emas.

Dia yang tinggal menumpang rumah mertuanya di Felda Neram, Kemaman, Terengganu dituduh melakukan jenayah itu dengan menggunakan senjata pisau, parang, besi panjang serta rantai besi untuk mengancam mangsa.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ketika mengemukakan rayuan pengurangan hukuman, berkata, dia terpaksa menyamun kerana tertekan selepas diugut ah long yang sering mengancam keselamatan keluarganya.

“Saya bimbang keselamatan keluarga kerana isteri sedang sarat mengandung tujuh bulan. Semua hasil samun pula diberikan kepada ah long,” ujar tertuduh tanpa menyatakan jumlah pinjaman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wahidah Zainal Abidin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh menggunakan senjata untuk mengancam keselamatan mangsa.

Menerusi penghakimannya, Dazuki berkata, hukuman tersebut telah mengambil kira faktor tertuduh menggunakan senjata yang boleh mencederakan mangsa.

“Walaupun kamu mengatakan terdesak dengan (ancaman) ah long, tetapi ini bukan cara untuk menyelesaikannya.

“Sebaliknya, ia menimbulkan masalah lebih besar. Ada cara yang betul di sisi undang-undang untuk menyelesaikannya (masalah diugut ah long),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×