Derita calon SPM hidap penyakit kanser ovari - Utusan Malaysia

Derita calon SPM hidap penyakit kanser ovari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 17 Julai – Seorang pelajar perempuan mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini kerana dikesan menghidapi penyakit kanser ovari tahap empat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad, Nur Zalikha Abdul Rahman, 17, kini bergantung dengan ubat-ubatan serta rawatan kemoterapi bagi memulihkan penyakitnya itu.

Menurut Zalikha, penyakit yang dihidapi itu dikesan dari bonjolan di bahagian bawah tulang rusuk kanan bertambah serius apabila terlibat kemalangan motosikal pada penghujung tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesan daripada kemalangan tersebut, cyst pecah dan telah merebak ke organ dalamam badan dan doktor Hospital Sultan Ismail (HS1) Johor Bahru mengesahkan beliau menghidapi kanser ovari yang tahap empat.

“Saya terpaksa berulang alik ke HSI untuk menjalani rawatan kemoterapi sejak dua bulan lalu dan menjalani tiga kali kemoterapi,” katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan guru-guru dan pelajar SMK Dato Ali Haji Ahmad di rumahnya di Kampung Parit Semerah di sini hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai Pengetua SMK Dato Ali Haji Ahmad, Hamid Selamat.

Nur Zalikha memang merindui suasana di sekolah serta rakan-rakan tetapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dengan keadaan badan yang panas serta kerap sesak nafas.

“Saya perlu kuat untuk pulih daripada kanser ini bagi membolehkan saya menduduki peperiksaan SPM 2019 pada November ini,” katanya dengan linangan air mata.

Sementara itu, kakaknya, Nor Jannah, 26, berkata, adiknya merupakan anak bongsu daripada lima beradik yang tinggal bersama-sama ibunya, Jumaeiah Sitar, 59, berkerja sebagai Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) di Tabika Kemas Parit Semerah.

Menurut Nor Jannah, ayahnya, Abdul Rahman Othman, bekas pekerja Majlis Daerah Pontian (MDP) meninggal dunia dua tahun lalu kerana menghidapi penyakit kanser paru-paru.

“Walaupun melalui kehidupan yang sederhana, kami adik-beradik tidak mengabaikan Zalikha dan akan membantu beliau yang sedang menderita penyakit dihidapi ini,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan kepada Nur Zalikha, boleh melalui Jumeiah Sitar di akuan Bank Rakyat 2201 3160 7071. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini