KUALA LUMPUR – Dendam pasukan Melaka di pentas akhir tahun lalu akhirnya terbalas selepas menundukkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 di Stadium UiTM Shah Alam sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, aksi cemerlang penjaga gol Melaka, Nurul Azurin Mazlan wajar deri pujian selepas menyelamatkan dua sepakan untuk mencatatkan keputusan 3-1 selepas aksi penuh berkesudahan seri tanpa jaringan termasuk waktu tambahan.
Terdahulu, Melaka hampir mendapatkan kemenangan pada minit ke-83, namun jaringan Dadree Rofinus telah dinafikan pengadil perlawanan ekoran pemain tengah berkenaan berada dalam dalam kedudukan offsaid.
Keputusan berkenaan sekali gus mampu mengubati kekecewaan Melaka selepas mereka sebelum ini tewas 0-2 kepada pasukan yang sama di pentas final bagi edisi 2018.
Sementara tempat ketiga memihak kepada PDRM FA selepas menundukkan Selangor dengan keputusan 3-2 dalam aksi berasingan pada sebelah petang di Stadium MMU, Cyberjaya. – K! ONLINE











