KUALA LUMPUR 8 Julai – Dana asing meneruskan aliran negatif daripada saham-saham tersenarai di Bursa Malaysia dengan menarik keluar RM230.2 juta bersih ekuiti tempatan minggu lalu.
Menurut MIDF Research, minggu lalu turut menyaksikan sebanyak RM114.38 juta bersih ekuiti tempatan dibawa keluar pada Isnin.
Katanya, ia disokong oleh perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan China untuk menyambung semula rundingan perdagangan semasa sidang kemuncak G20 pada minggu sebelumnya.
Firma penganalisis itu berkata, walaupun lebih banyak tarif yang dicadangkan oleh AS terhadap barangan berharga AS$4 bilion (RM16.52 bilion) dari Kesatuan Eropah, aktiviti belian bersih asing meningkat pada Selasa untuk mencapai RM143.8 juta bersih, tahap yang tidak dilihat sejak 3 Jun.
“Bursa tempatan kemudiannya naik 0.4 peratus sekali gus menafikan kerugian tahun demi tahun sejak 18 Mac lalu.
“Pada hari Rabu, tahap aktiviti belian bersih asing berkurangan dengan ketara kepada RM12.6 juta tetapi menandakan pembelian untuk hari keenam berturut-turut.
“Keyakinan perdagangan merosot apabila pelabur prihatin terhadap pertikaian perdagangan, kali ini antara Korea dan Jepun,” kata MIDF dalam laporan aliran dana mingguannya di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli ekonomi kanan United Overseas Bank Bhd. (UOB Malaysia) Julia Goh berkata, aliran masuk dana asing dalam aset hutang dan ekuiti Malaysia meningkat pada Jun selepas dua bulan pengeluaran pada April dan Mei susulan peningkan ketegangan perang perdagangan AS-China.
Ujar beliau lagi, aliran masuk dana asing dalam bon meningkat RM6.6 bilion dan ekuiti meningkat RM135 juta pada Jun lalu. Pemulihan itu selari dengan penurunan kadar faedah oleh kebanyakan bank pusat yang meningkatkan semula hasil dan ringgit mengukuh sebanyak 1.3 peratus berbanding dolar AS.
“Daripada jumlah ini, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) memperoleh bahagian terbesar (+RM5.8 bilion berbanding -RM3.8 bilion pada Mei), diikuti bil perbendaharaan (+RM900 juta berbanding -RM10 juta pada Mei).
“Selain itu, perdamaian sementara perdagangan selepas G20 melegakan apabila AS dan China bersetuju untuk kembali ke meja rundingan yang terhenti pada awal Mei,” katanya.











