LONDON – Pemain tenis wanita berusia 15 tahun, Cori Gauff melaungkan keyakinan tinggi mampu menewaskan sesiapa sahaja selepas mencipta kejutan menyingkirkan juara lima kali Wimbledon, Venus Williams pada pusingan pertama.
Gauff pemain ranking ke-133 dunia melangkah ke peringkat 32 terbaik selepas menewaskan pemain yang mara ke separuh akhir Wimbledon 2017, Magdalena Rybarikova dari Slovakia 6-3, 6-3.
Pemain termuda itu, mara ke pusingan ketiga dan berpeluang mengikut jejak langkah rakan senegara dari Amerika Syarikat, Jennifer Capriati yang layak ke separuh akhir kejohanan berprestij itu pada tahun 1991.
“Saya fikir saya boleh tewaskan sesiapa sahaja. Jika saya tak fikir saya boleh menang, saya tak akan masuk ke gelanggang,” katanya.
Gauff belum lagi tewas sebarang set sepanjang lima perlawanan termasuk tiga di peringkat kelayakan. Di hanya sekali kehilangan servis dan melakukan 18 kesilapan.
Pemain muda Amerika Syarikat itu akan menentang pemain nombor 60 dunia, Polona Hercog dari Slovenia pada peringkat 32 terakhir esok. – AFP











