KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menasihatkan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk memilih pasukan yang menggunakan casis Kalex sekiranya dia membuat keputusan untuk menyertai perlumbaan Moto2 musim hadapan.
Beliau yang juga Prinsipal PETRONAS Sprinta Racing berkata, perlumbaan bagi Moto2 adalah berbeza dengan MotoGP dari beberapa aspek.
“Saya nasihatkan, sertai pasukan yang menggunakan casis Kalex kerana ia adalah casis terbaik ketika ini.
“Pasukan Moto2 semua bagus-bagus tetapi dia perlu mencari pasukan yang memerlukan pelumba untuk tahun hadapan.
“Mungkin akan ada pasukan yang ingin melihat dia bersama mereka pada musim hadapan,” katanya.
Pada masa sama, Razlan menasihatkan pelumba berusia 25 tahun itu untuk terus bekerja keras bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 bagi menamatkan saingan musim ini walaupun tiada tawaran kontrak baharu bagi musim hadapan.
Beliau memberitahu, dia tidak seharusnya putus asa atau terlalu kecewa dengan situasi yang menimpa dirinya kerana ia sebahagian daripada proses biasa bagi setiap pelumba.
“Ini adalah situasi biasa bagi setiap pelumba, jadi dia kena tunjukkan kepada pasukan lain bahawa dia masih lagi pelumba yang berpotensi besar,” katanya.-UTUSAN ONLINE











