SEPANG 8 Julai – Kerajaan mengalu-alukan idea dan cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penambahbaikan kaedah penyaluran bantuan kepada penduduk Gaza, Palestin.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi usaha tersebut, bantuan pelbagai pihak dapat dioptimumkan yang sekali gus dapat memberi bantuan menyeluruh kepada umat Islam di sana.
“Dalam hal tertentu, agak sukar kerajaan memainkan peranan tetapi dalam soal bantuan kemanusian, jika wujud usaha menambahbaik daripada NGO, kita amat alu-alukan.
“Oleh demikian kita menggalakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan NGO lain untuk mengutarakan cadangan ini dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusian Mapim Ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Dalam masa sama, Saifuddin memaklumkan, Kementerian Luar sedang mengkaji agar sebahagian peruntukan kerajaan untuk misi kemanusian Palestin dapat disalurkan kepada NGO Malaysia.
Katanya, kerajaan mahu peruntukan itu disalurkan kepada pertubuhan yang benar-benar mampu menggerakkan misi kemanusiaan di wilayah bergolak tersebut.
“Apa kiranya mungkin sebahagian wang itu diberikan kepada NGO khususnya Mapim yang kita tahu boleh buat kerja.
“Kajian ini telah pun bermula sejak dua bulan lalu dan sebarang keputusan mengenainya akan dibuat sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr. Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, misi itu dijadual bermula hari ini sehingga 18 Julai ini dan bakal memasuki Gaza itu melalui sempadan Rafah, Mesir dan dijangka meninggalkan wilayah itu selepas sembilan hari.
Katanya, kebenaran diperoleh daripada Kerajaan Mesir akhirnya membolehkan misi itu dapat direalisasikan setelah cubaan lima tahun Mapim memasuki Gaza tidak membuahkan hasil. – UTUSAN ONLINE











