SHAH ALAM – Gandingan Boon Wei Ying-Foo Zu Tung berdepan laluan sukar untuk melepasi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia 2019 di Taiwan bulan ini apabila akan menentang pemenang pingat perak Sukan Deaflympic 2017 dari China dan Jepun.
Jurulatih badminton orang pekak negara, Sabrina Chong berkata, mereka perlu muncul sekurang-kurangnya naib juara kumpulan itu untuk mara ke pusingan kedua (16 terbaik) sebelum cuba mencapai sasaran yang ditetapkannya, separuh akhir.
“Saya hanya melatih mereka dengan bantuan Daphne Ng (perseorangan) sejak Mei lalu. Saya juga kerapkan mereka berlatih dengan rakan sepelatih pemain lelaki yang turut tampil secara sukarela sebagai persediaan ke Taipei.
“Ini kali pertama saya melatih pemain-pemain badminton orang pekak dan sasaran saya dalam jangka panjang ialah Sukan Orang Pekak Asia Pasifik di Hong Kong, November ini.
“Hanya beberapa perlawanan kecil tempatan yang mereka sertai kerana kami menghadapi kekangan kewangan,” kata Sabrina, bekas pemain beregu wanita dan campuran negara pemenang pingat emas berpasukan wanita Sukan SEA Laos 2009.
Terdahulu, Wei Ying-Zu Tung serta barisan jurulatih dan pengurus pasukan, Soon Yeok Voon menerima sumbangan penajaan barangan badminton berjenama Protech bernilai RM70,000 yang disampaikan Pengarah Urusannya, Datuk Ronnie Chong KS di sini hari ini.
Khidmat ahli fisioterapi Chin Mei Chan untuk pemain-pemain pula ditaja Hospital Avisena, Shah Alam.
Namun Sabrina, 32, tetap percaya, anak-anak buahnya yang turut akan beraksi dalam acara perseorangan mampu menyerlah pada hari pertandingan dengan ilmu, pengalaman dan bimbingan sepanjang kariernya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 2003 hingga 2012.
Antara bekas gandingannya dalam skuad negara ialah naib juara Sukan Olimpik 2016, Goh Liu Ying (beregu wanita) dan Ong Tian Guo (beregu campuran) malah menjuarai Sukan Universiti ASEAN 2012 merupakan satu lagi pencapaian terbaiknya.
“Ini penyertaan sulung saya dalam Kejohanan Dunia. Saya akan cuba sedaya upaya memenuhi sasaran jurulatih walaupun saya akui banyak yang saya pelajari. Saya mahu ikut contoh keyakinan di gelanggang seperti Lin Dan (bekas juara Olimpik dan dunia dari China),” kata Wei Ying.
Kata Ronnie, Protech berbangga menjadi penaja atlet-atlet daripada kumpulan yang berlainan (orang pekak) sebagai satu kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya golongan kurang upaya seperti mereka tidak sesekali diabaikan.
“CSR kami sebelum ini pun ada yang melibatkan antaranya golongan anak yatim dan kami dapati atlet orang pekak mempunyai semangat kesukanan yang wajar diberikan sokongan supaya prestasi mereka di gelanggang turut mampu menyerlah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











