KUALA LUMPUR 29 Julai – Saham-saham di Bursa Malaysia meneruskan penyusutan awal dagangan untuk ditutup rendah hari ini berikutan minat risiko pelabur dijejaskan oleh sentimen berhati-hati di pasaran, kata peniaga.
Pada pukul 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.27 mata kepada 1,642.69 daripada 1,647.96 yang dicatatkan sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu yang dibuka tidak berubah pada pagi ini bergerak dalam lingkungan 1,637.25 dan 1,648.71 mata sepanjang tempoh dagangan hari ini.
Sentimen pasaran secara keseluruhannya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 586 berbanding 297 manakala 401 kaunter lain tidak berubah, 652 tidak didagangkan dan 77 lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.64 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 2.56 bilion unit bernilai RM2.05 bilion.
Seorang peniaga berkata, sentimen global dijejaskan oleh faktor seperti sambungan rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China, jangkaan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah serta laporan bulanan gaji AS yang menyebabkan pelabur lebih berminat untuk berada di luar pasaran.
Mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dijadualkan bermula pada 30 Julai dan pihak bank pusat itu sememangnya dijangka mengumumkan potongan kadar faedah iaitu yang pertama dalam tempoh sedekad.
Sentimen sama turut dialami pasaran serantau yang mencatat prestasi menurun dengan pasaran Nikkei 225 Jepun susut 0.19 peratus kepada 21,616.80 manakala Hang Seng Hong Kong merosot 1.03 peratus kepada 28,106.41 dan Indeks Straits Times Singapura turun 0.65 peratus kepada 3,341.74. – BERNAMA











