KUALA LUMPUR 16 Julai – Bursa Malaysia susut 0.21 peratus sewaktu ditutup pada Selasa berikutan pelabur terbabit dalam aktiviti pemilihan dan belian saham secara bergilir-gilir yang bertujuan menambah nilai terhadap portfolio pelaburan masing-masing, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.43 mata kepada 1,668.94 berbanding 1,672.37 pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.88 mata lebih rendah kepada 1,671.49 pada awal dagangan dan bergerak dalam lingkungan 1,666.37 dan 1,672.47 sepanjang hari ini.
Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 450 berbanding 407 manakala 412 lain tidak berubah, 586 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.
Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata para pelabur beralih kepada saham khusus yang disifatkan lebih stabil dan menjaminkan pulangan serta pelaburan amanah hartanah atau REIT, penjagaan kesihatan, teknologi, tenaga serta pembinaan.
Beliau berkata, dagangan hari ini turut diheret turun oleh saham-saham perladangan.
“Selain itu, langkah (kerajaan) menyambung semula projek-projek besar juga terbukti memberi kesan kepada saham berkaitan. Sektor tenaga misalnya menyaksikan aliran meningkat, disokong oleh perolehan yang lebih tinggi manakala sektor teknologi juga lebih ketara berikutan impak perang perdagangan Amerika Syarikat-China,” katanya kepada Bernama.
Menurut Pong, para pelabur juga berupaya mengenal pasti saham-saham yang terjejas akibat perang dagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu.
Akibatnya, sektor kewangan, kepenggunaan dan utiliti sebaliknya lebih cenderung untuk menyusut berikutan syarikat-syarikat berkaitan mencatatkan margin keuntungan lebih rendah.
Kaunter berkaitan indeks seperti IHH naik enam sen kepada RM5.80 manakala TNB rugi 10 sen kepada RM13.78, Maybank berkurangan satu sen kepada RM8.89, Public Bank tidak berubah pada RM22.98 dan Petronas Chemicals susut 12 sen kepada RM8.24.
Saham aktif menyaksikan KNM untung setengah sen kepada 40 sen manakala warannya naik 5.5 sen kepada 29 sen, Ekovest menokok enam sen kepada 86 sen, IWCity meningkat 7.5 sen kepada RM1.06 dan Bumi Armada tidak berubah pada 25 sen.
Indeks FBM Emas berkurangan 10.14 mata kepada 11,857.28 dan Indeks FBMT 100 turun 10.41 mata kepada 11,680.49, manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 11.94 mata kepada 12,258.69.
FBM Ace naik 5.09 mata kepada 4,700.73 dan FBM 70 menokok 41.84 mata kepada 14,950.68.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.30 mata kepada 16,615.22, Indeks Perladangan merosot 15.77 mata kepada 6,885.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.65 mata kepada 160.2.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 3.01 bilion unit bernilai RM1.65 bilion yang dicatatkan semalam.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 2.54 bilion saham bernilai RM1.94 bilion berbanding 2.01 bilion saham bernilai RM1.46 bilion pada Isnin.
Jumlah waran berkurangan kepada 399.41 juta unit bernilai RM82.62 juta berbanding 454.26 juta unit bernilai RM96.26 juta semalam.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 380.0 juta saham bernilai RM65.76 juta daripada 540.53 juta saham bernilai RM85.18 juta yang dicatat sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 393.28 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (249.76 juta), pembinaan (265.34 juta), teknologi (190.86 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (32.33 juta), hartanah (190.095 juta), perladangan (11.53 juta), REIT (23.05 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (897.08 juta), penjagaan kesihatan (19.17 juta), telekomunikasi dan media (199.53 juta), pengangkutan dan logistik (46.71 juta) dan utiliti (25.65 juta). -BERNAMA











