KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dalam zon negatif apabila pasaran saham tempatan itu terus dilanda tekanan jualan ekoran pengambilan untung selepas peningkatan baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 4.95 mata atau 0.29 peratus lebih rendah kepada 1,682.53 berbanding 1,687.48 pada penutupan Khamis.
Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata bursa tempatan berada dalam aliran harga meningkat sejak pertengahan Mei 2019, apabila indeks utama merosot serendah 1,580 mata.
“Kini ia bergerak lebih 100 mata pada paras semasa 1,680 dan, oleh itu mendorong aktiviti pengambilan untung yang menyebabkan kedudukan pasaran negatif,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 480 berbanding 350, manakala 413 kaunter tidak berubah, 604 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Indeks meningkat 0.12 mata kepada 1,687.60 – paras tertinggi hari ini – pada pembukaan sebelum merosot ke wilayah negatif. Ia susut serendah 1,677.08 .
Walaupun trend menunjuk ke atas penurunan, Pong berkata penanda aras pasaran disokong oleh pembelian di kaunter pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, media, minyak dan gas, serta teknologi.
Sementara itu, pada penutupan ,Tenaga kekal sebagai saham paling rugi dalam kalangan saham wajaran tinggi, apabila harga merosot 54 sen kepada RM13.60.
Saham syarikat pembekal utiliti elektrik tunggal di Semenanjung Malaysia itu merosot susulan berita bahawa kerajaan sedang menjalankan kajian untuk menentukan sama ada pembekal baharu tenaga perlu dibenarkan memasuki pasaran.
Kaunter mewah lain yang merosot termasuklah Axiata dan AMMB, masing-masing jatuh enam sen kepada RM5.20 dan RM4.35 manakala Maxis dan MISC masing-masing turun satu sen kepada RM5.69 dan RM7.26. -BERNAMA











