TAHNIAH kepada 30,200 jemaah yang terpilih sebagai tetamu Allah bagi menunaikan fardu haji tahun ini. Setelah bertahun-tahun menunggu, pastinya peluang ini tidak akan disia-siakan untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu sebaik mungkin.
Namun perlu diingatkan, dalam keghairahan beribadah di tanah suci, jemaah haji Malaysia bukan sahaja membawa misi mengejar haji mabrur, tetapi mencerminkan imej negara di mata dunia.
Justeru, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihatkan jemaah perlu terus mengekalkan nama Malaysia sebagai jemaah haji terbaik dan contoh oleh kerajaan Arab Saudi.
Pengiktirafan besar diberikan oleh kerajaan Arab Saudi itu katanya, merupakan satu penghormatan kepada negara, malah menjadi kebanggaan sebagai negara Islam yang menitikberatkan budi pekerti dan akhlak Muslim sejati.
Beliau yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia berkata, jemaah haji Malaysia bukan sahaja terkenal dengan tekun dalam melaksanakan ibadah, malah tidak pernah terlibat dalam mana-mana tindakan tidak beretika atau membuat kacau di tanah suci.
Malah, lebih penting tambahnya, rombongan haji Malaysia juga tidak terlibat dengan perbuatan atau perkara khurafat.
“Tidak seperti jemaah negara lain yang tidak mempunyai pusat bimbingan haji dan tempat rujukan sempurna, ada dalam kalangan mereka terpesong seperti melakukan perkara-perkara khurafat semasa berada di tanah suci kerana mengikut ajaran ‘pak sheikh’ yang menjadi pembimbing masing-masing.
“Namun, jemaah kita bertuah kerana negara mempunyai sebuah institusi pengurusan haji yang terbaik mengikuti segala ketetapan digariskan oleh Muzakarah Haji sekali gus menyaksikan penyelarasan kepada semua pembimbing haji sama ada di peringkat Tabung Haji atau syarikat pengurusan haji persendirian,” katanya ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Pengurusan Haji, Nurrinanuwar Shamsuddin.
Mengulas lanjut Syed Saleh berkata, Tabung Haji turut mendapat pengiktirafan sebagai sebuah pengurusan haji terbaik daripada kerajaan Arab Saudi selain dinobatkan sebagai institusi yang berjaya melaksanakan usaha bimbingan terbaik kepada jemaah.
Selain itu, satu lagi pengiktirafan yang diterima oleh Tabung Haji bermula pada tahun lalu adalah kejayaan menganjurkan kempen kebersihan di Arafah dan Mina.
Jelasnya, beliau berasa terharu apabila kempen itu mencapai hasil yang luar dugaan apabila kawasan khemah penempatan jemaah Malaysia jauh lebih bersih berbanding sebelum tiba.
“Kempen ini seakan menjadi teladan kepada jemaah lain untuk mengikuti apa yang telah dilakukan oleh jemaah Malaysia kerana sebelum ini kawasan penempatan penuh dengan sampah sarap,” katanya.
Tambahnya, jumlah petugas yang akan membantu jemaah haji sepanjang di tanah suci adalah seramai 640 orang dengan 260 orang daripadanya adalah petugas Kementerian Kesihatan.
>> Lihat muka 24











