JELEBU 2 Julai – Polis mengesahkan objek yang ditemukan terhempas dan rentung di sebuah kawasan semak di Purun, Kuala Klawang dekat sini Sabtu lalu bukan paramotor, sebaliknya pesawat ringan jenis Technam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kes itu kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.
“BSKU akan jalankan siasatan lanjut dan pihak polis akan beri bantuan yang diperlukan. Siasatan polis menjurus ke arah unsur jenayah dan setakat ini tidak terdapat unsur jenayah.
“Keterangan mangsa belum dapat dirakam kerana keadaan kesihatan mereka (dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur) tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengunjungi lokasi nahas pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu lalu, polis menemukan objek yang rentung dipercayai paramotor di kawasan semak di Purun.
Susulan itu polis mengesahkan dua mangsa lelaki yang menaiki kenderaan itu dikenal pasti sebagai warga Amerika Syarikat (AS), Les Zsort Wrosmarty, 60, dan warga Malaysia, Siow Moon Yoew, 56.
Dalam pada itu, Mohamad menafikan dakwaan yang disebarkan di media sosial bahawa warga AS yang terlibat dalam nahas itu adalah seorang perisik.
Jelas beliau, lelaki itu masuk ke negara ini sebagai pelancong yang sah, namun siasatan mengenai status penerbangan yang dilakukannya akan disiasat oleh BSKU. – UTUSAN ONLINE











