Bukan mangsa ejek nama ibu suspek - Utusan Malaysia

Bukan mangsa ejek nama ibu suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Keluarga mangsa kes pukul di sebuah sekolah menengah di sini pada 2 Julai lalu menafikan mangsa dibelasah kerana mengejek nama ibu suspek yang memukulnya.

Abang mangsa, Firdaus Mohd. Rais, 26, berkata, orang ramai tersalah faham berhubung insiden itu kerana suspek yang sebenarnya mengejek nama ibu mangsa sebelum dia dibelasah.

“Orang ramai salah faham. Bukan adik saya yang mengejek nama ibu pelajar yang memukulnya, sebaliknya pelajar itu dan rakan-rakannya yang mengejek nama dan status ibu kami.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adik saya tidak membalas ejekan mereka, tetapi tetap dipukul. Saya tahu adik saya sering dipermainkan suspek dan rakan-rakannya di sekolah termasuk kepalanya diketuk secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Firdaus berkata, adiknya memaklumkan sebelum kejadian dia diberitahu oleh seorang pelajar lain suspek mahu bertemu di kawasan letak motosikal berhampiran bangunan asrama warden sekolah itu.

Menurut beliau, suspek didakwa mahu bertemu dengan adiknya kerana mahu meminta maaf mengejek nama ibunya, tetapi adik lelakinya itu dipukul apabila bertemu dengan suspek.

Justeru, beliau berharap orang ramai memahami situasi sebenar dan tidak berterusan menyalahkan adiknya yang merupakan mangsa kes pukul dalam kejadian itu.

“Adik saya kini berasa tertekan dan telah dua hari tidak ke sekolah kerana malu. 

“Kami sedang menunggu respons daripada pihak sekolah berhubung insiden ini sebelum membuat sebarang keputusan sama ada memindahkan dia ke sekolah lain,” katanya. 

Beliau melahirkan rasa kesal kerana pihak sekolah didakwa terlebih dahulu meminta bapanya supaya tidak memperbesarkan kes itu sebelum keluarganya membuat laporan polis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini