KOTA BHARU 16 Julai – Seorang wanita yang membuang bayi berusia tiga hari yang dilahirkannya sebelum berpura-pura menjumpai mangsa pada Oktober lalu dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Siti Maswani Mustapha, 31, yang merupakan seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan meninggalkan bayi yang dilahirkannya itu.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia didakwa iaitu pada 30 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh sebagai ibu kandung dengan niat telah meninggalkan bayi perempuannya di tepi sebuah kedai cat di pusat bandar ini pada pada pukul 1.05 pagi, 18 Oktober 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pihak polis menerima panggilan Mers 999 dibuat seorang lelaki memaklumkan penemuan bayi perempuan di tepi kedai cat berhampiran perhentian bas Kota Bharu.
Ketika polis tiba, tertuduh menyerahkan bayi dijumpai itu kepada polis.
Menurut saksi lelaki yang membuat panggilan, tertuduh memberitahunya bahawa dia telah terjumpa bayi tersebut di dalam longkang berhampiran kedai cat. Siasatan di tempat wanita itu menginap menemukan darah di lantai serta uri yang diletakkan dalam plastik.
Tertuduh dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati bayi itu merupakan anak tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE











