PULAU PINANG 5 Julai – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri mendedahkan 72 syarat yang dikenakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai syarat kelulusan bagi laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut untuk membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR).
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, CAP dan SAM amat kecewa apabila mendapati laporan EIA bagi projek PSR telah diluluskan oleh JAS.
“Kami difahamkan bahawa 72 syarat dikenakan oleh JAS untuk kelulusan.
“Kami menggesa kerajaan negeri mendedahkan kepada orang ramai syarat ini tanpa sebarang penangguhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan negeri hari ini mengesahkan pihaknya sudah menerima surat kelulusan EIA bagi projek PSR daripada JAS.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, surat kelulusan itu diterima pejabatnya petang semalam yang disertakan bersama-sama 72 syarat dan nasihat yang perlu dipatuhi kerajaan negeri.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut menjelaskan, SAM dan CAP bimbang jika ulasan kedua-dua NGO itu dan kumpulan masyarakat sivil lain termasuk ahli awam diketepikan oleh JAS.
“Antaranya adalah kesan serius sumber perikanan serta kehidupan nelayan-nelayan dari kawasan ini akan menjadi lebih buruk jika cadangan projek diluluskan dan dilaksanakan.
“Kami telah menjelaskan bahawa komuniti nelayan serta industri penangkapan ikan akan lenyap di selatan Pulau Pinang,” katanya.
Tambah kenyataan itu, semua cadangan alternatif bagi nelayan yang dicadangkan dalam EIA adalah tidak munasabah dan tidak realistik tanpa empati bagi komuniti nelayan. – UTUSAN ONLINE











