KUANTAN 11 Julai – Sebuah bot nelayan Vietnam ditahan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Ganyang kerana dikesan melakukan kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara kira-kira 105,564 meter utara dari Pulau Tioman.
Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi) Kepten Maritim V. Pannir Selvan berkata, bot nelayan Vietnam itu ditahan pukul 7 pagi hari ini dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, kapal TLDM itu sedang melaksanakan eksesais di perairan negeri ini dan mengesan dua bot disyaki bot nelayan Vietnam tetapi sebuah lagi berjaya melarikan diri.
“Setelah siasatan, bot berkenaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan PAF 4642 membawa hasil laut yang dianggarkan seberat hampir 100 kilogram, dipercayai diperolehi dalam perairan Malaysia dan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi dan keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.
“Kesemua lapan nelayan Vietnam termasuk tekong berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun dan bot ditahan serta diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
V.Pannir berkata, jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta, penjara tidak melebihi tiga tahun manakala awak-awak boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM100,000 setiap seorang, penjara tidak melebihi dua tahun.
Beliau dalam pada itu berkata, sehingga hari ini, Maritim Malaysia Pahang telah melakukan 566 pemeriksaan dan 47 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.
Jelasnya, orang ramai disaran memberi kerjasama untuk membantu dalam menangani sebarang kejadian jenayah maritim dengan membuat aduan di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345. – UTUSAN ONLINE











