Bomba tujuh negara tunjuk kehebatan di MIREC 2019 - Utusan Malaysia

Bomba tujuh negara tunjuk kehebatan di MIREC 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai- Penganjuran Malaysia International Rescue Extrication Challenge (MIREC) yang julung kali diadakan berjaya menarik penglibatan pasukan penyelamat dari tujuh buah negara.


Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hamdan Wahid berkata, antara negara terlibat adalah Malaysia, Indonesia, Thailand, Macau, Singapura, Hong Kong serta Filipina sebagai negara pemerhati.


Menurut beliau, program yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan bengkel dan seminar mengenai modul berkaitan ilmu penyelamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…


“Sebanyak 63 orang peserta akan terlibat dalam 10 cabaran yang dipertandingkan hari ini dan esok.


“Program ini juga dapat memberi pendedahan serta berkongsi maklumat tentang teknik-teknik penyelamatan terkini dan pengenalan kepada peralatan dan teknologi baharu,” katanya selepas merasmikan program MIREC 2019 di pusat beli-belah Velocity di sini hari ini.


Sementara itu, ketika ditanya berhubung pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan yang dipohon pihak JBPM kepada kerajaan, beliau berharap ada pertimbangan dilakukan berhubung perkara itu.


“Perkara itu masih dalam proses pertimbangan. Saya percaya kerajaan baharu ini prihatin dengan keperluan anggota bomba sebagai tanda khidmat bakti anggota bomba yang bertugas di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan pemberian elaun itu tidak dapat dilaksanakan tahun ini kerana perlu melalui beberapa prosedur serta bergantung kepada kedudukan semasa kewangan negara.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini