KUALA LUMPUR – Selepas dua temasya di luar Malaysia hanya diletakkan di bawah kategori B, skuad bola sepak lelaki akhirnya berjaya meyakinkan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 untuk diletakkan di bawah kategori A kali ini.
Ini merupakan kali pertama penyertaan skuad bola sepak lelaki ditanggung kos pemergian sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas terpaksa mengeluarkan duit sendiri pada temasya 2013 di Myanmar dan temasya 2015 di Singapura, manakala bagi penganjuran 2017 pula ia tidak diambil kira kerana Sukan SEA berlangsung di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan bagi badan induk bola sepak negara itu berdasarkan prestasi semasa skuad bawah 23 tahun negara ketika ini.
“Sudah lama bola sepak lelaki tidak diletakkan di bawah kategori A dan apabila bertemu dengan jawatankuasa pemilihan hari ini, mereka terus sahaja membuat keputusan yang melegakan.
“Ia bukanlah satu kejutan kerana FAM juga sudah menjangkakannya memandangkan pencapaian bola sepak lelaki dalam dua temasya (2015 dan 2017) sebelum ini juga telah membuktikan kemampuan kita dengan kejayaan muncul naib juara,” katanya selepas mesyuarat di Wisma MOM di sini, hari ini.
Bagaimanapun, bagi skuad wanita pula katanya, ia belum diputuskan lagi sama ada akan diletakkan di dalam kategori mana oleh jawatankuasa pemilihan kerana masih menunggu pencapaian mereka pada Piala AFF, Ogos ini.
“Jika pencapaian mereka bagus, sudah tentu peluang untuk diletakkan di bawah kategori A agak cerah,” jelasnya.
Sukan SEA 2019 dijadual berlangsung di Filipina dari 30 Novemver hingga 11 Disember ini. – UTUSAN ONLINE











