KUALA LUMPUR 8 Julai –Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus, selepas membuat pemotongan sebanyak 25 mata asas (bps) pada Mei lalu.
Standard Chartered Global Research berkata, berdasarkan kenyataan terbaharu dasar monetari, pendirian bank pusat berkenaan adalah neutral.
“Penurunan OPR pada bulan Mei bertujuan untuk mengatasi beberapa tanda-tanda keadaan pengetatan kewangan, daripada kemerosotan pertumbuhan yang ketara atau penurunan inflasi.
“Walaupun risiko penurunan kepada pertumbuhan kekal, kami berpendapat pengurangan OPR pada Mei lalu adalah lebih awal dan mengharapkan bank pusat tetap berjaga-jaga.
“Kami menjangkakan pertumbuhan kekal di atas 4.5 peratus tahun ke tahun pada 2019 dan inflasi teras tidak termasuk kesan perubahan cukai stabil pada kadar 1.6 peratus tahun ke tahun pada Mei,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Mei lalu BNM dalam kenyataannya berkata, kadar siling dan lantai OPR masing-masing dikurangkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Menurut BNM, ekonomi global terus berkembang sederhana sementara pertumbuhan lebih baik berbanding jangkaan dicatatkan di beberapa ekonomi utama pada suku pertama.
Sementara itu Standard Chartered berkata, Standard Chartered berkata Indeks Keadaan Monetari (MCI) menunjukkan bahawa keadaan kini telah ‘longgar’ di Malaysia.
“Kadar dasar dipotong, kadar pertukaran sebenar yang lebih rendah (REER) dan sedikit peningkatan dalam pertumbuhan bekalan wang telah menyumbang kepada keadaan yang lebih longgar,” katanya.











