ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meluaskan pelaksanaan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid di negeri Kedah bagi siri KET.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, bidaan akan dibuka selama lima hari bermula tengah malam ini hingga 15 Julai ini pada pukul 11.59 malam.
Kata beliau, Kedah menjadi negeri ketiga melaksanakan sistem JPJeBid selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Selepas Kedah, sistem ini akan dilaksanakan di Pulau Pinang, Sabah dan seterusnya Johor sebelum ia dijangka digunakan sepenuhnya di seluruh negara pada tahun hadapan,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Kedah di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd. Rosdi Mohd. Darus dan Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Sharif.
Shaharuddin berkata, harga bidaan dalam JPJeBid mengikut harga minimum ditetapkan iaitu nombor bernilai utama RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).
“Bagi siri KET ini, kita menyasarkan hasil bidaan keseluruhan antara RM800,000 hingga RM1 juta,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, keputusan rasmi JPJeBid bagi siri VDP dikeluarkan pada Isnin lalu.
“Hasil kutipan bidaan keseluruhan bagi siri VDP adalah RM1.15 juta dengan bidaan tertinggi RM120,000 bagi nombor pendaftaran VDP 1,” ujarnya.
Tambahnya, harga bidaan kedua tertinggi adalah VDP 9 (RM55,000) diikuti VDP 8 (RM52,000), VDP 2 (RM48,000), VDP 3 (RM44,000) dan VDP 7 (RM43,000).
Orang ramai boleh mengakses sistem JPJeBid menerusi aplikasi JPJeBid atau melalui portal https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/. – K! ONLINE











