KUALA LUMPUR – “Bayangkan pada hari pertama saya masuk ‘punch card’ pun terbalik kerana sebelum ini bekerja di syarikat swasta suasana berbeza”.
Itu antara pengalaman menarik yang dikongsi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya selepas genap sebulan memegang jawatan tersebut semalam.
Katanya, pelantikan tersebut memberikan satu pengalaman baharu yang berbeza berbanding semasa beliau memegang jawatan sebagai peguam bela sebelum ini.
Jelas beliau, skop penugasan kini lebih mencabar terutama dalam menerajui suruhanjaya tersebut yang ditubuhkan membanteras gejala rasuah di negara ini.
“Sebelum ini saya banyak memperjuangkan hak asasi manusia yang agak berbeza dengan tugas penguat kuasa.
“Selama 17 tahun saya bertugas sebagai peguam bela, semua ini perkara baharu bagi saya. Ibarat saya masuk belajar balik di universiti,” katanya ketika ditemubual di radio MACC.FM di Ibu pejabat Putrajaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Latheefa Koya mengakui agak terkejut apabila menerima tawaran pelantikan tersebut namun beliau tekad bersetuju memikul tanggungjawab berkenaan.
Jelasnya, beliau juga telah menjangkakan reaksi daripada pelbagai pihak yang menganggap pelantikannya sesuatu yang luar biasa kerana latar belakang politiknya sebelum ini.
“Ketika menerima pelantikan ini, saya telah jangka reaksi positif dan negatif namun dari segi konteks perlu difahami bahawa lebih setahun saya bergerak aktif sebagai peguam asasi.
“Isu ini tidak menggugat kredibiliti kerana akhirnya rakyat yang akan menentukan sama ada saya layak untuk memegang jawatan ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE











