Bersatu Melaka sokong 3 jawatan tertinggi tidak dicabar - Utusan Malaysia

Bersatu Melaka sokong 3 jawatan tertinggi tidak dicabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini menaruh keyakinan kepada tiga pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk terus diberi kepercayaan menerajui kepemimpinan pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, beliau percaya seluruh ahli parti negeri meletakkan harapan penuh kepada Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk terus memimpin Bersatu.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang baru berusia dua tahun, kepemimpinan ketiga-tiga mereka amat diperlukan berdasarkan kepada pengalaman yang ada bagi memastikan Bersatu terus kukuh untuk menjaga kepentingan pelbagai kaum khususnya Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di peringkat negeri, Bersatu Melaka berharap ketiga-tiga pemimpin ini terus diberi kepercayaan kerana kita di peringkat bawahan termasuk di negeri, tidak mempunyai pengalaman untuk memastikan perjuangan Bersatu terus mantap.

“Sehubungan itu kita menyambut baik saranan agar tiga jawatan itu tidak dicabar pada pemilihan akan datang,” katanya.

Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kafe Dapur Atok Dynda di Jalan Plaza Mahkota 2, Banda Hilir di sini malam ini.

Mukhriz baru-baru ini mendakwa, ahli akar umbi Bersatu mahu tiga jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Menurut beliau, ketika ini cakap-cakap yang didengar daripada ketua bahagian adalah mereka mencadangkan supaya tiga jawatan tertinggi parti iaitu pengerusi, presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata, pemilihan yang dijadualkan pada 20 Julai ini adalah bagi menggubal perlembagaan parti untuk memantapkan Bersatu pada masa akan datang.

“Ketika ini semua pemimpin bahagian adalah dilantik dan bukannya dipilih, kita harap banyak usul yang akan dicadangkan pada pemilihan tidak lama lagi termasuk memilih pemimpin dapat dipersetujui di peringkat Pusat untuk kita bergerak lebih jauh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini