KUALA TERENGGANU 2 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu seolah-olah tidak sabar-sabar menunggu penggabungan UMNO dengan Pas menerusi ta`awun siyasi.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya amat berharap supaya gabungan antara dua parti berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin yang bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau seterusnya membuat andaian di sebalik penyatuan itu, penyokong fanatik Pas dan UMNO akan keluar meninggalkan parti masing-masing sekali gus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya Bersatu di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.
“Jangan tangguh lagi, segerakan (gabungan UMNO-Pas) dan kita nak pastikan PRU-15 akan menyaksikan satu lawan satu. Sebagai pemimpin politik, kita nak percepatkan lagi gabungan ini biar di Terengganu ada dua penjuru pada PRU-15.
“Kita andaikan gabungan ini sebagai UMPAS (UMNO-Pas), bila berlaku (gabungan) kita jangka sebahagian pengikut fanatik Pas dan juga UMNO akan lari dan mereka akan sokong PH khususnya Bersatu di Terengganu,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersatu Terengganu di pejabat parti berkenaan di sini hari ini.
Razali turut berpendapat, gandingan UMNO-Pas di bawah penyatuan ummah sebenarnya memberi kelebihan kepada Pas kerana parti itu menyandarkan harapan kepada UMNO yang dianggap pembangkang yang hebat dan kuat di Terengganu.
Jelasnya, Pas seolah-olah tidak mahu sejarah kekalahan parti itu kepada UMNO pada pilihan raya umum 1999 berulang dan atas faktor itu, mereka sanggup bergabung.
“Kita nampak pemimpin Pas di Terengganu rasa selesa dan terkawal kalau UMNO Terengganu terima ta`awun siyasi ini. Contohnya pada 1999 hanya satu penggal Pas perintah Terengganu sebelum terlingkup dan tinggal empat kerusi. Waktu itu UMNO cukup hebat sebagai pembangkang dan atas sebab itulah mereka (Pas) cipta ta`awun siyasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











