LONDON – Bekas pengendali Newcastle Rafa Benitez menegaskan keputusannya untuk menyertai kelab dari Liga Super China (CSL), Dalian Yifang bukan kerana wang semata-mata.
Benitez terdahulu gagal untuk menyambung kontrak bersama Newcastle dan mengakui pilihannya ke negara Asia itu disebabkan ingin menguji kemampuannya di luar Eropah.
Dalian merupakan kelab yang berada di tengah dalam carta CSL dan dimiliki oleh jutawan Wang Jianlin, namun Benitez menegaskan pilihannya ke sana bukan atas dasar sumber kewangan.
“Saya mempunyai tawaran yang lebih besar dari segi kewangan semasa kerjaya saya, tetapi ia bukan projek yang saya cari.
“Apa yang saya dapati di Dalian adalah satu projek yang luar biasa yang tiba tepat pada masanya dan ini merupakan faktor utama dalam keputusan saya.
“Kami telah menerima cabaran untuk memimpin projek yang hebat dengan sokongan penuh serta saya yakin dengan pengurusan kelab.
“Sejak kebelakangan ini, banyak pemain dan jurulatih yang saya tahu telah berhijrah ke China, jadi saya mahu memperoleh pengalaman Liga Super sebanyak mungkin,” katanya.- AGENSI











