Belia ditakrif 15 hingga 30 tahun - Utusan Malaysia

Belia ditakrif 15 hingga 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Mereka yang berusia lebih 30 tahun kini mungkin tidak boleh lagi digelar sebagai belia, berikutan kelulusan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-undang (RUU) yang dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan itu telah meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ untuk menurunkan had umur maksimum belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas 17 ahli Parlimen berbahas mengenai pindaan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika menggulungkan RUU, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, antara kepentingan pindaan itu boleh mengelakkan gerakan belia didominasi oleh orang sama untuk tempoh yang panjang.

“Pertama sekali perbincangan pindaan seperti ini bukan berlaku tahun 2019, 2018 dan 2017 tetapi pada tahun 2010.

“Cuma setiap tahun ada penangguhan kerana tiada iltizam politik yang mencukupi.

“Apa implikasinya? Jika mengekalkan had kepada umur 35 atau 40 tahun, kita tidak beri peluang kepada pemimpin muda lain untuk mengetuai pertubuhan-pertubuhan belia di Malaysia.

“Dan wajah-wajah yang sama sahaja akan mengetuai tanpa peluang dan ruang dibuka. Implikasi kedua adalah peruntukan daripada kerajaan atau tajaan akan didominasi oleh kumpulan yang sama sahaja,” katanya.

Jelasnya, apabila menurunkan had umur, aspek pendanaan tidak lagi tertumpu kepada mereka berusia lebih 30 tahun yang kebanyakkan sudah berkeluarga, sebaliknya difokuskan kepada aktiviti untuk golongan berusia antara 15 tahun hingga 25 tahun yang mudah terdedah kepada pelbagai masalah sosial.

Syed Saddiq pada masa sama menjelaskan, pindaan itu tidak menyebabkan mereka yang telah melebihi umur 30 tahun perlu meletakkan jawatan serta-merta dalam mana-mana pertubuhan belia.

Namun jelasnya, mereka itu perlu bersiap sedia melakukan peralihan kepada mereka yang layak mengikut ketetapan.

Ketika sesi perbahasan, beberapa ahli Parlimen menyuarakan kerisauan tentang pindaan tersebut kerana dilihat dibuat tergesa-gesa dan melihat penurunan umur kepada 35 adalah lebih sesuai.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini