MADRID – Antoine Griezmann merasakan sangat luar biasa untuk bersama Lionel Messi dalam satu pasukan selepas melengkapkan perpindahan ke Barcelona.
Griezmann menandatangani kontrak lima tahun bersama Barcelona selepas juara La Liga itu menghidupkan klausa perpindahan bernilai 120 juta euro (RM557.88 juta) daripada Atletico Madrid.
Atletico bagaimanapun mendakwa, Barcelona berhutang 80 juta euro (RM371.92 juta) seleps kelab Catalan itu menjalankan perbincangan bersama Griezmann sebelunm nilai klausa perpindahan itu diturunkan pada 1 Julai.
“Sangat gembira dan saya tidak sabar untuk menjalani latihan bersama Messi setiap hari.
“Beraksi bersama Messi adalah sesuatu yang sangat menggembirakan.
“Bagi saya, ini adalah kelab yang besar dan ia akan terus berkembang. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan sepasukan lain dan berharap kami akan menang banyak trofi.
“Saya mahu bergembira di atas padang dan di luar padang, di bilik persalinan. Saya mahu beraksi dengan gembira dan membawa kegembiraan kepada pasukan dan penyokong,” katanya.
Griezmann akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum diperkenalkan secara rasmi dalam satu sidang akhbar dan pemain Perancis itu teruja untuk bersama Samuel Umtiti dan Ousmane Dembele.-AGENSI











