Bayi maut kemalangan ketika mahu jumpa doktor - Utusan Malaysia

Bayi maut kemalangan ketika mahu jumpa doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia lima hari maut selepas kenderaan dinaiki bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49, Jalan Kuala Lumpur menghala Ipoh, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, bayi bersama ibu dan bapanya dikatakan dalam perjalanan ke Klinik Ibu dan Anak, Rasa dekat sini untuk berjumpa doktor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bhak Phai berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika kenderaan Perodua Bezza dipandu bapa bayi tersebut dari Batang Kali menuju ke Rasa dekat sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, kereta mangsa dikatakan melanggar bahagian hadapan sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba membuat pusingan U.

“Kereta mangsa terbabas melanggar penghadang besi jalan di sebelah kiri jalan. Pada masa sama, datang sebuah lagi kereta dari arah belakang yang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bhak Phai memberitahu, kejadian itu menyebabkan ibu bayi tersebut mengalami kecederaan parah akibat kesan luka pembedahan ketika bersalin manakala bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bayi yang cedera telah dihantar Hospital Kuala Kubu Bahru bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Seorang pemandu kenderaan turut mendapatkan rawatan di hospital sama akibat kecederaan di bahagian leher dan kepala,” ujarnya.

Tambah Bhak Phai, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini