SAN JUAN 10 Julai – Polis Puerto Rico tidak menolak kemungkinan kematian bayi yang terjatuh daripada tingkat 11 sebuah kapal persiaran pada ketinggian 45.7 meter sebagai kes bunuh.
Mail Online melaporkan, Chloe Wiegand, 18 bulan terbunuh selepas terlepas daripada pegangan datuknya dan terjatuh melalui tingkap terbuka ketika kapal persiaran Royal Caribbean bersedia untuk berlepas dari Puerto Rico, Ahad lalu.
Pemangku Ketua Bahagian Homisid, Jabatan Polis San Juan, Sarjan Jose D, Sanchez berkata, masih terlalu awal untuk mengklasifikasikan kes itu sebagai kemalangan.
“Kita sedang berada pada peringkat awal siasatan dan tidak menolak sebarang kemungkinan.
“Polis menyiasat secara profesional bagi mendapatkan penjelasan kematian bayi perempuan ini yang menjadi tanggungjawab kita,” katanya.
Keluarga mangsa dalam pada itu dilapor menyalahkan syarikat kapal persiaran tersebut di atas kematian Wiegand.
Peguam dilantik keluarga mangsa, Michael Winkleman memberitahu, datuk mangsa, Salvatore Anello tidak menyedari tingkap kapal tersebut terbuka ketika membawa Chloe berhampiran tingkap.
Katanya, cermin itu tidak sepatutnya boleh dibuka sama sekali kerana ia berada di kawasan kanak-kanak pada tingkat 11 kapal. –AGENSI











