MACHANG 5 Julai – Harga bas baharu yang terlalu mahal memaksa kebanyakan pengusaha bas menggunakan bas yang sedia ada untuk beroperasi walaupun ada sesetengah kenderaan tersebut sudah ‘uzur’.
Timbalan Pengerusi Pengusaha Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria berkata, harga bagi sebuah bas baharu boleh mencecah sehingga setengah juta ringgit dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM8,000 sebulan.
Katanya, komitmen itu tidak mampu dibayar oleh pengusaha bas yang rata-rata mereka hanya meraih pendapatan kira-kira RM80 sehari.
“Masalah ini mungkin dapat diselesaikan jika kerajaan dapat memberi subsidi kepada pengusaha bas untuk beli bas baharu.
“Jadi kita dapat mengurangkan penggunaan bas lama,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, murid yang maut selepas terjatuh dari lantai bas yang reput semalam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Izani berkata, pihaknya berharap Kementerian Pengangkutan dapat memperkenalkan semula Skim Insurans Murid Sekolah sebagaimana dalam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau kini Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Menerusi skim itu, pampasan akan diberikan sehingga RM100,000 seorang dan ia akan meringankan beban sekiranya berlaku kemalangan ke atas pemandu mahupun penumpang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata persatuan enggan menuding jari pada mana-mana pihak namun berharap pengusaha, pemandu dan guru memainkan peranan masing-masing dalam memastikan aspek keselamatan pelajar dititikberatkan.
“Dalam masa terdekat ini, kita akan memanggil 131 pengusaha yang berdaftar dengan persatuan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi semalam, Wan Mohammed Adam bersama 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang berada dalam bas dalam perjalanan ke Besut, Terengganu.
Siasatan polis mendapati, mangsa bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu dan melompat di kawasan lantai reput semasa bas sekolah sedang bergerak sebelum tiba-tiba terjatuh ke bawah lalu digilis tayar bas. – UTUSAN ONLINE











