LONDON – Bintang tenis Australia, Ashleigh Barty terus mengekalkan statusnya sebagai pemain No. 1 wanita dunia dalam senarai terbaharu yang diumumkan oleh Persatuan Tenis Wanita (WTA) selepas berakhirnya Kejohanan Wimbledon minggu lalu.
Barty, 23, yang pencapaian terbaiknya dalam kejohanan gelanggang rumput itu ialah mara ke pusingan keempat, mengumpul 6605 mata untuk mengatasi 348 mata ke atas pemain Jepun, Naomi Osaka (6257 mata) di tangga kedua.
Juara Terbuka Perancis 2019 itu yang memburu misi menjadi pemain Australia pertama menjuarai Wimbledon sejak Evonne Goolagong Cawley melakukannya pada 1980, tewas tiga set kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Alison Riske pada saingan tersebut.
Posisi tiga pemain teratas iaitu Barty, Osaka dan Karolina Pliskova kekal tidak berubah meskipun kesemua mereka gagal ke peringkat suku akhir.
Pemain Romania, Simona Halep yang menewaskan Serena Williams pada pentas final di Kelab Seluruh England itu Sabtu lalu, berjaya melonjak tiga anak tangga ke posisi keempat dunia, manakala Serena pula naik satu tangga ke kedudukan kesembilan.
Bekas pemain No. 1 dunia, Angelique Kerber yang tersingkir pada pusingan kedua Wimbledon selepas memenanginya pada 2018, terkeluar dalam senarai 10 pemain terbaik apabila menduduki tangga ke-13. – Agensi











