KUALA LUMPUR 2 Julai – Beberapa penjaja warga asing berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan serbuan di Pasar Harian Selayang dalam Tindakan Khas Penjaja Warga Asing awal pagi, semalam.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, melalui tindakan khas tersebut, sebanyak 50 sitaan pelbagai barangan milik penjaja warga asing telah dikenakan mengikut kesalahan Undang-undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.
“Antara barangan yang disita oleh anggota penguat kuasa dari Jabatan Penguatkuasaan DBKL adalah pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan laut,” katanya.
Selain itu, DBKL turut mengeluarkan sebanyak 60 notis kesalahan bagi kesalahan trafik dan dua buah kenderaan buruk (tersadai) telah ditunda.
Katanya, tiada sebarang kekecohan dan provokasi berlaku ketika tindakan khas itu dilaksanakan.
“Pihak kami akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi membanteras kebanjiran warga asing yang tidak mempunyai lesen berniaga dan yang tiada dokumen perjalanan sah,” menurut kenyataan itu.











