BRISBANE, Australia – Seorang bapa bersifat periang meninggal dunia 10 hari selepas dia memakan seekor cicak gecko sebagai menyahut cabaran di sebuah parti, lapor portal Mirror.co.
David Dowell, 34, menghidap jangkitan bakteria salmonella selepas memakan reptilia itu menghadiri parti Krismas di sebuah kediaman yang tidak dinyatakan.
Ketika wawancara bersama akhbar berkenaan kelmarin, keluarganya yang masih bersedih menyifatkan mendiang sebagai seorang bapa penyayang dan ‘penyeri majlis’.
“Sesiapa yang berbual dengannya pasti akan menyukai David,” kata pasangan mendiang, Allira Bricknell.
Allira yang menetap di sini, negeri Queensland menyifatkan David sebagai bapa terbaik.
“Saya mahu mengingati saat gembira kami. Saya amat risau tentang tiga anak kami. Saya mahu melindungi mereka,” katanya.
Allira memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak melakukan aksi serupa, sama ada untuk menunjukkan keberanian atau menyahut cabaran rakan-rakan.
Gecko merupakan sejenis cicak yang ditemui di kawasan beriklim panas di seluruh dunia.
Salmonella pula adalah bakteria yang ditemui pada makanan dan mengakibatkan simptom seperti cirit-birit, sakit perut dan demam. – Agensi











