Bantah pelaksanaan semula PPSMI - Utusan Malaysia

Bantah pelaksanaan semula PPSMI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKADEMI Sains Islam Malaysia (ASASI) bersama dengan para akademik dan NGO pendidikan Melayu dan Islam lain membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan semula Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana pelaksanaan semula PPSMI melanggar Perlembagaan Persekutuan, Akta dan Dasar Negara seperti Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara, Akta Bahasa Kebangsaan yang mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal dalam semua peringkat sistem pendidikan.

Pelaksanaan PPSMI 2003-2012 telah menurunkan secara mendadak prestasi pelajar Malaysia dalam penilaian antarabangsa TIMSS dan PISA. Kajian Trends in International Mathematics and Science Studies (TIMSS) dari tahun 1999-2011 menunjukkan penurunan prestasi pelajar Malaysia bagi Sains dan Matematik sewaktu pelaksanaan PPSMI dan meningkat kembali pada tahun 2015 selepas PPSMI batal sepenuhnya. Kajian Programme for International Students Assessment (PISA) dari tahun 2009-2015 menunjukkan prestasi pelajar meningkat setelah PPSMI dibatalkan pada tahun 2009 dan batal sepenuhnya pada 2012.

Pelaksanaan PPSMI 2003-2012 telah menimbulkan persepsi negatif di kalangan pelajar Malaysia tentang kesukaran mata pelajaran sains dan matematik sehingga menyebabkan ramai pelajar enggan memilih aliran sains tulen. Peratus kemasukan pelajar ke aliran sains tulen mendatar sekitar 30% ketika pelaksanaan PPSMI kerana mereka dipaksa memilihnya bagi kelangsungan PPSMI. Peratusan itu menurun kepada sekitar 20% akibat persepsi pelajar bahawa aliran sains tulen susah walaupun PPSMI sudah batal sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Masa depan kira-kira empat juta murid telah dirosakkan akibat PPSMI. Data TIMSS dan PISA menunjukkan dengan jelas PPSMI gagal meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam Bahasa Inggeris dan dalam Sains dan Matematik.

Dengan ini, ASASI mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik segera menghentikan sebarang usaha untuk melaksanakan semula PPSMI kerana ia telah terbukti gagal meningkatkan kefahaman dan kemahiran sains dan matematik murid oleh ujian antarabangsa TIMSS dan PISA antara tahun 2003-2015. PPSMI juga gagal meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris murid-murid pada tempoh masa yang sama.

PROF. DATUK IR. DR. WAN RAMLI WAN DAUD

Presiden ASASI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini