KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim merasmikan Balai Polis Bukit Jalil yang telah beroperasi lapan tahun lalu di sini hari ini.
Mazlan dalam ucapannya berkata, balai polis itu mula dibina pada 29 April 2009 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2010 dengan kos pembinaan RM9.2 juta.
Menurutnya, penyerahan kunci balai oleh pemaju pembinaan, Abad Jaya Construction Sdn. Bhd. dilakukan pada 31 Mac 2011.
“Balai ini dibina terdiri dari tiga blok iaitu dua tingkat bangunan utama, stor barang kes dan blok rumah banglo dua tingkat rumah kediaman Ketua Polis Balai.
“Selain itu, balai ini juga dilingkapi dengan kemudahan riadah gelanggang bola tampar dan sepak takraw serta sebuah surau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan turut melawat sekitar balai tersebut selama beberapa minit dan menanam pokok sebagai simbolik perasmian.
Tambahnya, pembinaan Balai Polis Bukit Jalil bercirikan kontemporari serta berkompetensi tinggi ini akan memudahkan pihak polis berkhidmat dengan lebih berkesan menjaga keselamatan masyarakat.
“Jumlah perjawatan di balai ini adalah seramai 133 orang dan jumlah itu masih kurang namun ia menunjukkan prestasi yang terbaik sejak dibuka hingga hari ini,” ujarnya
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek, pegawai kanan dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE











