Majlis Suara Melayu Johor (Suara) ingin mengucapkan selamat mengundi kepada remaja setelah Parlimen Malaysia menurunkan umur layak mengundi dan menjadi Ahli dewan Rakyat daripada umur 21 kepada 18 tahun.
Ini diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga dijangka memberi kesan kepada hitungan politik negara. Suara menyifatkan pindaan itu amat penting kerana langkah ke hadapan dalam Perlembagaan Demokrasi Malaysia serta langkah untuk negara berada pada fasa ketiga demokrasi.
Fasa pertama demokrasi ialah ketika negara mula-mula mengamalkan demokrasi iaitu selepas kemerdekaan, disusuli fasa kedua apabila negara mengukuhkan institusi demokrasi. Suara berharap pindaan ini turut merubah pandangan menyeluruh dan pendekatan terhadap penghakupayaan anak muda iaitu anak muda bebas menentukan sendiri keputusan dan tindakan berkaitan diri, persekitaran dan masa depan mereka.
Suara menganggap pindaan itu juga adalah lakaran sejarah untuk semua rakyat Malaysia kerana meluaskan lagi pembabitan anak muda dalam proses demokrasi negara yang akan terus subur di negara ini seterusnya mencorakkan negara kini dan masa depan.
Selain itu kita dapat adunkan pandangan mereka bukan hanya dalam pembentukan suara melalui media sosial tetapi juga hak mengundi serta menjadi calon. Ruang seumpama itu wajar disokong penuh dan kita hargai sokongan semua pihak agar perubahan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan terutama memastikan pengundi menunaikan tanggungjawab serta ada kesedaran mengundi dan politik.
Pada hemat kami, ada banyak perkara yang menarik tentang kelulusan pindaan ini. Pertama, pindaan menurunkan had umur mengundi ini akan menyaksikan landskap politik negara bakal berubah hampir 360 darjah. Anak muda kali ini menjadi titik fokus ahli politik dan akan menjadi rebutan banyak parti politik untuk memastikan kemenangan ke Putrajaya.
Keduanya, pindaan tersebut diiringi dengan pindaan lain iaitu berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun. Pendaftaran secara automatik ini akan menyaksikan seramai 7.8 juta pengundi baharu didaftar dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga tahun 2023.
Dengan majoriti pengundi yang masih muda, maka undi golongan ini amat penting, jika satu undi boleh membawa perubahan, bayangkan dengan pertambahan 7.8 juta undi baharu ini. Sudah tentu perubahan ini adalah positif buat anak muda yang sebelum ini terpencil dan tidak diendahkan dalam politik arus perdana, walaupun sudah 14 kali pilihan raya umum negara dijalankan.
Di sebalik penerimaan positif terhadap perubahan ini, ramai juga skeptikal dan was-was untuk menerimanya disebabkan faktor usia yang muda dan mentah, mungkin terdedah kepada eksploitasi dan propaganda politik sempit mana-mana pihak.
Apatah lagi berkaitan dengan memilih kerajaan yang akan menentukan masa depan seluruh warganegara. Justeru sewajarnya ada keperluan untuk berasa sedemikian. Bagaimanapun kita berharap perkembangan terbaharu itu tidak menyimpang anak muda ini daripada pembelajaran mereka.
Menerusi perubahan yang bakal dilakukan seiring dengan penurunan umur ini terutama dalam konteks institusi dan sistem dalam memastikan kondusif untuk membolehkan anak muda benar-benar manfaatkan perubahan yang dibuat. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan ‘bahawa parti politiklah yang harus menjadi pihak pertama untuk berubah.
Kini dengan lebih tujuh juta lagi remaja yang layak didaftarkan sebagai pemilih tentu sekali ada kesannya terhadap pola pemilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15. Namun tujuh juta pemilih baru itu tidak akan memberi makna sekiranya mereka tidak keluar mengundi. Dahulu umur 21 tahun kini umur 18 tahun sudah dikira matang. Buktikan kematangan dengan mengundi, apabila tiba masanya nanti.
Penulis ialah Pengerusi Majlis Suara Melayu Johor (Suara)
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia











