KUALA LUMPUR – Jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan percaya, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Aznil Bidin mempunyai prospek baik untuk sekurang-kurangnya meraih pingat perak dalam Sukan SEA di Filipina, November ini.
“Paling kurang pun pingat perak…. atlet kena bekerja keras sikit. Namun saya yakin mereka berdua boleh hadiahkan pingat kepada negara. Atlet lain juga mungkin boleh menang pingat…,” katanya semalam.
Selain Azroy Hazalwafie dan Azil, Zhi Quan turut melatih jaguh angkat berat seperti Muhammad Erry Hidayat, Nurul Atikah Mahamad Sabri dan Mohd. Yusoff Nandong.
Menurut Zhi Quan, beliau kini dalam usaha untuk menukar corak latihan atlet kebangsaan yang telah diguna pakai untuk tempoh yang lama sebelum ini.
Kebanyakan atlet di bawah jagaannya boleh menerima perubahan itu termasuk znil, yang dilihat banyak menunjukkan perkembangan positif.
Selain memberi fokus terhadap persiapan Sukan SEA, Wang juga turut memastikan anak didiknya bersedia untuk kejohanan yang menawarkan mata ke Sukan Olimpik.
Aznil dan Erry akan bersaing dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Samoa, dari 9 hingga 14 Julai ini, serta di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Pattaya, Thailand, dari 16 hingga 25 Sept depan. – BERNAMA











