BERTENAGA dan penuh gelak tawa. Demikian gelagat tujuh remaja yang menggelarkan diri mereka sebagai peneraju The Mouseketeers Club Mickey Mouse.
Memasuki musim ketiga, rancangan hiburan keluarga nombor satu siaran Disney’s Channel tersebut membariskan tujuh ahli terdiri daripada ketua The Mouseketeers iaitu Charis, di sisi enam rakan seperjuangannya iaitu Dheena, Ellya, Erissa, Faiz, Gabriel dan Wafiy.
Siri popular dari Amerika Syarikat yang telah diasimilasikan sesuai dengan selera pasaran rantau Asia Tenggara tersebut meneruskan populariti sejak kali pertama diperkenalkan sekitar tahun 2017.
Berbicara mengenai The Mouseketeers Club Mickey Mouse versi Malaysia, terdapat banyak misi dibawa mereka selain mengetengahkan hiburan santai semata-mata.
Dua tahun bersama, tujuh orang ahli The Mouseketeers Club Mickey Mouse itu bukan sekadar sahabat bahkan sudah seperti bersaudara dan selesa meletakkan ikatan mereka bagaikan sebuah keluarga.
Memegang status selebriti remaja paling berpengalaman sebagai ahli The Mouseketeers yang lain, Wafiy yang telah bersama rancangan hiburan berkenaan sejak musim pertama berkongsi pendapatnya.
“Tidak berlebihan jika saya memberi gambaran bahawa The Mouseketeers Club Mickey Mouse antara platform yang membentuk keperibadian saya sepanjang dalam industri.
“Berdiri bersama rakan yang lain sebagai sebuah kumpulan bukan sahaja mengajar erti kerjasama malahan meningkatkan nilai kendiri masing-masing terutama ketika berdiri di hadapan kamera.
“Kini, setelah dua tahun bersama program ini, saya tidak lagi mempunyai sebarang masalah seperti menari dan menyanyi. Ketika kali pertama dahulu, sukar untuk melaksanakan tanggungjawab ini,” kata bintang yang lahir menerusi program Ceria Popstar itu.
Menawan rantau Asia Tenggara
Kini bergelar mentor atau tenaga pendidik dalam program Ceria Megastar Ministar terbitan Astro, Wafiy tidak menafikan penglibatannya sebagai ahli The Mouseketeers mengukuhkan jenamanya dalam industri.
Sementelah program tersebut mencatatkan tontonan yang tinggi terutama di negara jiran Indonesia dan Filipina, populariti yang diraih pantas memberi impak terhadap kerjaya Wafiy.
“Program ini telah banyak membantu saya membina nama sebagai anak seni. Saya kini mempunyai peminat bukan sahaja di Malaysia malah sekitar Asia terutama dari Filipina dan Indonesia.
“Meraih populariti bukan bermaksud saya boleh bersenang-lenang dan berterusan menikmati kemanisan bergelar selebriti. Saya perlu berusaha kerana membawa jenama The Mouseketeers Club Mickey Mouse ke mana sahaja saya pergi,” ujarnya.
The Mouseketeers Club Mickey Mouse musim ketiga telah memulakan tayangannya pada 14 Jun lalu menerusi siaran 615 Disney Channel yang hanya boleh diakses secara eksklusif pelanggan Astro.
Rancangan hiburan yang bersiaran selama 30 minit tersebut menggabungkan sketsa, permainan, lagu dan kemunculan artis jemputan berbeza dalam setiap episod.
Antara artis tempatan yang turut memeriahkan episod The Mouseketeers Club Mickey Mouse adalah pelakon, Datuk Aaron Aziz.
Peluang bertemu Aaron di studio The Mouseketeers di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini mendapatkan buah fikiran pelakon itu mengenai rancangan tersebut.
Wadah ilmu
“Saya bersetuju menjayakan program ini atas paksaan anak-anak yang kebetulan merupakan peminat The Mouseketeers Club Mickey Mouse.
“Saya dipaksa,” katanya yang disambut hilai tawa ahli The Mouseketeers Club Mickey Mouse yang lain.
Turun padang menyaksikan sendiri aksi setiap ahli The Mouseketeers, Aaron berkata, program berkenaan jauh lebih luas daripada konsep hiburan semata-mata.
Bukan sahaja terkesima melihat bakat anak muda, malah Aaron menyifatkan program berkenaan sebagai penyatuan dan mewakili suara setiap anak muda di segenap Asia.
“Saya suka bekerjasama dengan kanak-kanak dan golongan remaja seusia mereka ini kerana semangat dan bakat yang dimiliki adalah besar. Setiap pergerakan, dialog, lakonan yang mereka sampaikan adalah jujur. Itu yang penting.
“Melihat keyakinan mereka beraksi turut menyuntik inspirasi kepada kanak-kanak, remaja mahupun belia yang mengikuti rancangan ini untuk turut sama-sama terinpirasi,” ujarnya.
Melihat keupayaan The Mouseketeers mendekati khalayak, Aaron menyifatkan program berkenaan berfungsi sebagai perkongsian ilmu melalui pertuturan bahasa Inggeris.
Aaron berkata, dia amat berharap program berkenaan pada masa hadapan boleh diakses secara meluas terutama di kawasan pedalaman.
“Itu hanyalah pendapat peribadi. Saya melihat kemampuan program ini untuk memberi manfaat lebih meluas kepada masyarakat,” tuturnya.
Sungguhpun begitu, melihat impak populariti yang diraih setiap ahli kumpulan The Mouseketeers apatah lagi pada usia setiap daripada mereka yang masih muda, Aaron sempat menitipkan nasihat.
“Saya yakin ada dalam kalangan mereka ini dilihat sebagai idola dari kaca mata penonton di luar sana. Itu tanggungjawab yang berat.
“Sentiasa merendah diri dan jangan tenggelam dalam dunia populariti,” katanya menutup perbualan.











