Atlet memanah Unisza ke Itali sasar bawa pulang satu pingat - Utusan Malaysia

Atlet memanah Unisza ke Itali sasar bawa pulang satu pingat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 5 Julai – Empat atlet memanah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat dalam Kejohanan Sukan Universiti Dunia 2019 yang kini berlangsung di Napoli, Itali hingga 14 Julai depan.

Mereka adalah Nur Aina Yasmine Halim dari Fakulti Sains Sosial Gunaan, Iman Aisyah Norazam (Fakulti Sains Kesihatan), Amirul Amin Abd. Rahim (Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi) dan Shaerra Ezzaty Saffuan (Fakulti Informatik dan Komputeran).

AMIRUL AMIN ABD. RAHIM
AMIRUL AMIN ABD. RAHIM 

Wakilnya, Amirul Amin berkata, walaupun bakal berdepan saingan hebat bertanding dengan kalangan pemanah bertaraf dunia, namun ia bukan penghalang untuk mereka mencipta kejayaan sekali gus mengharumkan nama negara dalam temasya berprestij yang julung kali disertai itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelajar tahun satu ini memberitahu, kesemua mereka telah melalui latihan rapi selama 10 hari di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil dan berazam melakukan yang terbaik dalam setiap acara yang disertai.

“Ini merupakan penyertaan kali pertama atlet Unisza sebagai wakil negara ke kejohanan tersebut.

“Kebanyakan atlet merupakan pemanah dunia, jadi kita akan cuba mempraktikkan sebaik mungkin nasihat jurulatih, Adnan Ahmad dan Mukhriz Mohamed agar dapat memanah dengan matang di samping mengawal emosi dalam perlawanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kesemua mereka bersama-sama dua atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping masing-masing satu atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) merupakan antara lapan atlet yang terpilih mewakili negara dan dijadualkan berlepas ke Napoli pukul 11.05 malam ini.

Sebelum ini, keempat-empat atlet memanah Unisza itu pernah mengharumkan nama universiti apabila meraih pingat dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 pada Disember tahun lalu.

Nur Aina Yasmine dan Iman Aisyah merupakan atlet yang berada di bawah program senior MSN.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unisza, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, penyertaan atlet universiti dalam kejohanan dwi tahunan itu diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada atlet-atlet lain supaya berusaha lebih gigih dan mempamerkan prestasi cemerlang bagi membuka peluang mereka terpilih mewakili negara di masa akan datang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini